KADET REMAJA SEKOLAH (KRS) SMKSM
Rabu, 16 Januari 2013
Selasa, 15 Januari 2013
sejarah penubuhan krs
SEJARAH KADET REMAJA SEKOLAH
Kadet Remaja Sekolah (KRS) telah ditubuhkan dan diasaskan
oleh Muhammad Thani Bin Sha'aban di Sekolah Menengah Raja Abdullah, Jalan
Kepong, Kuala Lumpur pada 27 Jun 1987. Pasukan ini pada mulanya dikenali
sebagai Kadet Putera Islam Malaysia (KPIM) yang merupakan pasukan beruniform
kepada Persatuan Pelajar-pelajar Islam SMRA (PERWIRA) Keahliannya adalah
seramai 20 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar daripada tingkatan 1 dan
2. Matlamat utama penubuhannya ialah untuk melahirkan pelajar cemerlang yang BERILMU
BERIMAN dan BERAMAL, berakhlak mulia, bersemangat patriotik dan berketrampilan,
selaras dengan usaha dan hasrat mengisi tuntutan Falsafah Pendidikan Negara ke
arah Wawasan 2020. Pasukan KPIM ini
bernaung di bawah pengawasan Unit Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Wilayah
Persekutuan. Setiap aktiviti yang dijalankan adalah berteraskan ISLAM SEBAGAI
CARA KEHIDUPAN (AD-DEEN). Mulai tahun 1989, beberapa buah sekolah di Wilayah
Persekutuan telah mula menubuhkan KPIM. Pada tahun 1993, sebanyak 53 buah
sekolah menengah di seluruh negara telah menubuhkan KPIM. Usaha untuk menubuhkan
KPIM secara rasmi dan; bernaung di bawah Kementerian Pendidikan telah dimulakan
pada 10 Ogos 1993, dan satu pertemuan telah diadakan dengan Yang Berbahagia Tan
Sri Datuk Dr. Wan Mohd Zahid b. Wan Mohd Nordin, iaitu Ketua Pengarah
Pendidikan Malaysia pada 13 September 1993. Tesis mengenai KPIM telah
dibentangkan dalam pertemuan ini. Hasil daripada pertemuan tersebut, sebuah
jawatankuasa kecil telah dibentuk untuk menyediakan kertas kabinet, dan
jawatankuasa ini telah mencadangkan agar pasukan ini diberi nama KADET
PUTERA-PUTERI ISLAM (KPIM).
Walaubagaimanapun, nama pasukan ini telah ditukar kepada
KADET REMAJA ISLAM (KRIS). Sementara itu, taklimat dan pendedahan kepada
Pengarah-pengarah bahagian Kementerian Pendidikan yang telah diadakan pada
bulan Oktober 1993 telah dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Dr.
Wan Mohd Zahid telah membuat keputusan agar nama pasukan ini ditukar kepada
Kadet Remaja Sekolah yang membuka keahliannya kepada semua kaum sama ada lelaki
atau perempuan. Upacara Pelancaran Kadet Remaja Sekolah Peringkat Kebangsaan
telah dilaksanakan pada 20 Jun 1995 bersamaan 21 Muharram 1416 oleh Yang
Berhormat Dato' Seri Mohd Najib Tun Hj. Abdul Razak, Menteri Pendidikan
Malaysia di Sekolah Menengah Raja Abdullah, Jalan Kepong, Kuala Lumpur. Pada
bulan November-Disember tahun yang sama, seramai 300 orang guru telah dilatih
sebagai jurulatih Kadet Remaja Sekolah peringkat negeri. Pelaksanaan Kadet Remaja
Sekolah sebenarnya mempunyai keunikan konsep dan falsafahnya yang tersendiri
yang membezakan pasukan ini dari pasukan-pasukan beruniform yang lain. Kegiatan
yang dijalankan, digandingkan dengan unsur-unsur pengukuhan dan pemantapan jiwa
dan rohani setiap anggota pasukan. Pelajar yang meanggotai pasukan ini bukan
sahaja dibangunkan dari aspek jasmaninya melalui kegiatan kegiatan yang
mencabar inteleknya melalui kegiatan-kegiatan kreatif, bahkan juga jiwa dan
rohaninya melalui amalan-amalan langsung ibadah khusus dan umum.
Langgan:
Catatan (Atom)